Monday, February 13, 2012

Perkauman atau mengenai kaum?

Baru-baru ini kebanyak pengguna media sosial dikejutkan dengan beberapa video pergaduhan antara seorang pelanggan restoran makanan segera dengan pekerja restoran tersebut.  Rentetan itu, banyak sekali komen-komen yang ditulis dan dipaparkan sehinggakan ada komen yang berbau perkauman.  Saya meneliti dan menonton video itu dan saya berasakan, insiden itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira kaum,bangsa mahupun agama.
Ada saksi yang menyatakan ada pernyataan berbau perkauman dikatakan oleh pelanggan. Namun polis tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.  Secara jujurnya ia adalah kata-kata si A menentang si B. Kita sendiri tidak pasti mana satu yang benar atau tidak.
Bagi pendapat saya, setiap manusia itu dilahirkan sebagai manusia yang ada akal dan fikiran lengkap lebih baik daripada binatang.  Apabila datang perasaan amarah, lalu kita respon kepada perasaan tersebut dengan menunjukkan tindakan yang tidak baik, maka ianya bukanlah disebabkan mereka itu dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India.  Tetapi ia terjadi kerana kita adalah manusia, yang ada sifat mahmudah (baik) dan sifat mazmumah (jahat).  Terpulang kepada kita untuk mentadbir dan menguruskannya. Seandainya kita berpegang kepada ajaran agama yang menjadi pandu ajar kita maka tindakan kita adalah berlandaskan agama yang Haq. Wallahualam

Wednesday, February 16, 2011

Laskar pelangi:Agama,etika dan pembangunan.

12 Rabiulawal 1432,bersamaan pula dengan 15 Februari  2011 merupakan satu tarikh yang perlu dibanggakan oleh umat Islam seluruh dunia kerana lahirnya Nabi Muhammad S.A.W, berpuluh-puluh tahun yang lalu. Namun begitulah manusia, tahu cuti umum, tapi tidak pula tahu cuti untuk apa. Kalau tahu pun, cuti itu untuk berehat-rehat bersama keluarga, berjalan-jalan dan macam-macam lagi. Padahal seharusnya kita menghayati tarikh tersebut, menghayati pengorbanan Rasulullah yang sehingga ke akhirnya berjuang mempertahankan umat-umatnya.
Namun disebalik semua itu, saya amat tertarik dan berbangga dengan stesen-stesen TV Malaysia, tidak kira stesen swasta mahupun kerajaan berusaha untuk menghidangkan banyak sekali filem-filem dan telefilem yang berunsur kemanusiaan, perjuangan demi agama dan juga menampilkan nilai-nilai murni yang tidak terkira banyaknya.  Walaupun ada juga sesetengah filem yang ditayangkan tidak relevan dengan Maulid Nabi namun kredit harus diberikan kerana adanya kesedaran dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia umumnya.
Satu filem yang menarik perhatian saya adalah filem Laskar Pelangi, yang diadapatasi dari novel karya Andrea Hirata.  Saya tidak mempunyai kepakaran untuk mengkritik daripada segi teknikal penghasilan filem tersebut. Namun saya mengakui sinematografi, pergerakan kamera, gabungan warna dan latarbelakang yang digunakan sangat memberi kesan kepada saya,bermain dengan emosi dan seterusnya membuka mata saya kepada banyak sekali persoalan yang ditimbulkan yang digarap daripada kehidupan seharian manusia.
Laskar Pelangi mengisahkan tentang perjuangan 10 orang kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk belajar di sekolah-sekolah ternama tetapi menumpang nasib di sebuah sekolah yang sangat uzur. Semangat juang yang ada dalam diri mereka tidak menghalang semua kesukaran ini,sebaliknya terus membakar semangat mereka untuk maju.  Berhadapan dengan cabaran; berkongsi laluan ke sekolah dengan seekor buaya, membahagikan waktu antara bersekolah dengan membantu bapa menangkap ikan di laut dan tidak mempunyai pakaian yang sempurna ke sekolah.  Ini semua tidak melemahkan semangat mereka untuk berjuang. Sehinggalah mereka semua berjaya dalam bidang masing-masing.
Pendokong watak dalam filem tersebut berjaya menampilkan bahawa kepercayaan agama mereka adalah satu-satunya perkara yang dipegang untuk mendidik kanak-kanak tersebut. Miss Muslimah contohnya, seorang wanita Islam yang nampak lembut dan mesra tetapi tegas dan bersemangat kental dalam meneruskan perjuangan. Pegangan agama menjadi tunjang bakti Miss Muslimah.  Gaji dan upah bukanlah satu kemestian, tetapi bakti dan amalan yang dapat ditumpahkan kepada kanak-kanak tersebut merupakan satu 'upah' yang lebih besar maknanya. Cikgu Harfan pula, walaupun umurnya tidak panjang untuk menyaksikan kejayaan anak muridnya sehingga akhir hayat terus menabur budi. Beliau jugalah yang mengemas bilik darjah,membaiki kerusi dan tanpa jemu-jemu memberi semangat kepada kanak-kanak itu.  
Secara jujurnya filem ini menyingkap fenomena yang berlaku di sekeliling kita. Ketidaksamarataan, terpinggir,penindasan dan rapuhnya perpaduan adalah intipati filem tersebut.  Perkataan 'material' dan 'akhlak' sering diulang-ulang dalam filem tersebut.  Sehingga filem itu tamat, mesej itulah yang cuba disampaikan. Saya dapat membuat kesimpulan melalui filem tersebut bahawa material bukanlah segala-galanya, tetapi akhlak dan agama adalah perkara yang paling penting untuk dipegang sehingga ke akhir hayat. Justeru, bagaimanakah kita sebagai seorang manusia mampu untuk menyatakan bahawa agama tidak mempunyai sebarang kaitan dengan etika dan pembangunan? Setidak-tidaknya bagi mereka yang tidak mempunyai agama, secara spiritual seharusnya mereka mengakui adalah penting untuk mengamalkan perkara-perkara baik yang membawa kepada kebaikan.  Mereka ini juga pada kebiasaannya percaya 'what comes around goes around' ataupun hukum karma, biarpun mereka enggan mengaku wujudnya Tuhan.
Dalam mencapai pembangunan, seandainya agama dan etika itu diletak ke tepi, maka akan wujudlah sebuah masayarakat yang mementingkan material sahaja.  Segala matlamat akan menghalalkan cara, pembangunan dan kemajuan yang bakal dicapai hanyalah wang dan habuan yang semakin meningkat. Padahal, pembangunan moral dan jatidiri itu seharusnya dititikberatkan untuk memastikan pembangunan material dan modal dapat dikekalkan dan ditingkatkan setiap masa. Bukanlah impian kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencapai kemajuan yang kita inginkan dengan berbunuhan antara satu sama lain, menindas saudara yang lain, membakar jambatan perpaduan dan berterusan melakukan semua perkara-perkara keji asalkan kita mencapai kejayaan dan kekayaan kapital sahaja. Apalah gunanya semua ini seandainya modal insan musnah dan hancur berkecai. Kita tidak mampu menjadi sehebat Rasulullah tetapi segala kesempurnaan akhlak dan etikanya patut dicontohi. Perjuangan beliau adalah perjuangan harmoni seharusnya menjadi model untuk kita berusaha menjadi yang terbaik.Seandainya kita menjadi satu bangsa yang gah di muka bumi jadilah bangsa yang kaya dengan etika dan akhlak bertunjangkan agama, janganlah kita menjadi satu bangsa yang hina dengan kelakuannya. 
.

Tuesday, January 18, 2011

Welcoming you to my blog...

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia..
Hello everybody..this is my first time ever (seriously) writing in a blog of my own. Not so sure where and what to start first, but pretty sure will come even easier next time. Apa pon....buat permulaan saya ucapkan terima kasih kerana sudi melawat blog saya.  Blog saya ini akan membincangkan tentang isu semasa, interest saya dalam kehidupan dan kerjaya dan perkongsian maklumat sesama kita.